Golf Masters Selangor: Afham Othman ganti slot Anson Yeo pada usia 14 tahun

Saufi Tahir
January 19, 2025 19:31 MYT
Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2025 melabuhkan tirainya pada Sabtu apabila pemain terbaik negara bagi kategori individu, Anson Yeo Boon Xiang, menamatkan saingan di kedudukan ketiga terbaik.
Pencapaian pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun lalu itu melayakkan dirinya menyambar slot eksklusif untuk beraksi di Selangor Masters bermula Rabu depan.
Malah, sudah menjadi tradisi penganjuran apabila pemain terbaik negara diberikan slot beraksi bersama pemain profesional terbaik seluruh dunia di Kejohanan Selangor Masters itu.
Begitupun, Anson Yeo terpaksa menarik diri daripada penglibatan tahun ini atas faktor — komitmen peribadi dan slot itu jatuh kepada Muhammad Afham Othman yang baru berusia 14 tahun.
"Saya berikan kepadanya (Afham Othman) kerana saya tidak akan beraksi kerana saya akan ke Taiwan untuk Sambutan Tahun Baru Cina, saya telah menempah lebih awal lagi sejak tahun lalu.
"Terima kasih buat pasukan dan keluarga kerana menyokong saya," katanya.
Sementara itu, tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2026, mengumumkan kelab Seri Selangor menjadi venue rasmi sukan golf bagi penganjuran temasya dwi tahunan itu nanti.
Pengesahan itu menjadi petanda awal, Selangor komited untuk merampas dua kilauan pingat emas saingan individu yang menjadi milik Sarawak pADA edisi tahun lalu itu — menerusi Anson Yeo Boon Xiang dan Mirabel Ting.
Skuad Sukma Selangor sedang dalam penilaian untuk membentuk skuad ampuh dengan pemain remaja terbaik akan dipilih daripada Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) termasuk Persatuan Golf Malaysia (MGA).
Antara prospek utama kem Selangor adalah untuk meraih emas menerusi Muhammad Ajmal Amin Mohd Fajri selepas pemain berusia 18 tahun itu menamatkan saingan Sukma Sarawak selaku pemenang pingat perak.
"Kita telah memulakan persiapan untuk Sukma dan pastinya sedang mempertimbangkan bersama Majlis Sukan Negeri dan Kelab Seri Selangor untuk kemungkinan menjadi venue rasmi.
"Ini adalah lokasi milik PKNS, daripada segi fasiliti di tahap antarabangsa. Golf merupakan prospek emas buat Selangor. Kelebihan buat Selangor adalah kami mempunyai tempat Latihan yang baik." tambahnya.
#Golf #Golf Masters Selangor
;