Golf Jelajah Toyota: Fakhrul Akmal makin selesa terajui Piala Harrier

Shaiful Shamsudin
September 25, 2024 18:18 MYT
Fakhrul Akmal mengekalkan cengkamannya selaku pendahulu Kejohanan Golf Jelajah Toyota: Piala Harrier apabila buat kali kedua mencatat enam di bawah par 66 di Kelab Golf DiRaja Pahang, hari ini.
Justeru, dia akan melangkah ke pusingan akhir esok dengan kelebihan tiga pukulan ke atas pencabar terdekat, Kim Leun Kwang.
Fakhrul menyempurnakan pusingan hari ini dengan tiga birdie dalam setiap sembilan lubang biarpun perlu melakukan tiga putt untuk lubang pertama, sekali gus membuktikan bahawa dia sudah bersedia untuk melakar kemenangan pertamanya dalam kancah profesional.
"Sejujurnya, pukulan saya tidak sebaik yang diharapkan dan saya terlepas sekurang-kurangnya empat birdie.
“Prestasi keseluruhan saya lebih-lebih pukulan iron selepas 36 lubang telah memberikan keyakinan dan saya tidak sabar untuk mengesahkan kemenangan esok," kata pemain kelahiran Kedah berusia 28 tahun itu.
#Golf