EPL: Pochettino mahu Chelsea beli lebih banyak pemain pada Januari
Ammar Hakim
December 11, 2023 13:02 MYT
December 11, 2023 13:02 MYT
Mauricio Pochettino percaya Chelsea memerlukan aktiviti jendela perpindahan yang lebih banyak Januari ini untuk membantu memperkukuhkan lagi pasukan selepas menghuni tangga ke-12 sekaligus jauh ketinggalan daripada kelayakan Liga Juara-Juara.
Tewas 2-0 kepada Everton merupakan kekalahan ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dan ketinggalan 14 mata di belakang Manchester City yang berada di tempat keempat sekaligus kelihatan mustahil untuk dicapai.
Chelsea telah berbelanja lebih RM5.8 billion dalam tiga jendela perpindahan terakhir namun rata-rata lebih sebelum kehadiran Pochettino dan dia mahu pemainnya sendiri untuk membantu menghembus nafas baru di Stamford Bridge.
“Ini adalah perlawanan yang perlu dimenangi. Ini masalah yang perlu kita periksa semula. Kami perlu bercakap dan mencuba serta menambah baik dalam pasaran perpindahan seterusnya,” katanya.
“Kami sedang menangani perkara ini. Selepas lima bulan, atau separuh pertama musim, kami perlu menyemak dan itulah realitinya. Jika kami tidak cukup agresif (di atas padang) mungkin kami perlu melakukan sesuatu.”