TOTTENHAM 3 CHELSEA 4

Dua gol sepakan penalti Cole Palmer memastikan Chelsea bangkit menewaskan Tottenham 4-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman lawan itu awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan The Blues mengecilkan jurang dengan pendahulu liga, Liverpool, kepada empat mata.

Chelsea membelasah Spurs 4-1 dalam pertemuan di Stadium Tottenham Hotspur musim lalu tetapi kali ini, mereka terpaksa melakukan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan 0-2 seawal 11 minit pertama gara-gara kesilapan berganda Marc Cucurella.

Penyudah Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke memastikan tuan rumah selesa dengan kelebihan dua gol pada awal permainan tetapi Jadon Sancho kemudian mengecilkan jurang itu pada minit ke-17.

Palmer menyamakan kedudukan buat pelawat dengan sepakan penalti selepas sejam permainan susulan tindakan Yves Bissouma menjatuhkan Moises Caicedo.

Bintang Chelsea itu mendapatkan satu lagi sepakan penalti yang disudahkannya sendiri selepas dijatuhkan Pepe Sarr, tidak lama selepas Enzo Fernandez meletakkan Chelsea di depan.

Son Heung-min kemudian merapatkan jurang buat tuan rumah dalam waktu kecederaan yang nyata sudah terlalu lewat untuk mereka mengikat kembali kedudukan.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan bimbingan Enzo Maresca berkenaan memintas Arsenal di tangga kedua liga dengan kelebihan dua mata manakala Spurs pula kian terperosok di tangga ke-11 selepas berdepan kekalahan kedua dalam tempoh tiga hari.