Kapten pasukan Arsenal, Martin Odegaard, dijangka tersisih daripada skuad kendalian Mikel Arteta selama tiga minggu akibat kecederaan buku lali sewaktu mewakili Norway dalam perlawanan antarabangsa, Selasa lalu.

Bekas pemain Real Madrid itu menjadi pemain terbaru mengalami kecederaan sirius menyaksikan dia bakal terlepas pertemuan penting menentang musuh tradisi, Tottenham Hotspur dan Manchester City, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).


The Gunners sudah pun kehilangan khidmat pemain kebangsaan England, Declan Rice, selepas digantung perlawanan akibat layangan kad merah ketika bertemu Brighton, sebelum ini.

Dalam masa sama, penyerang terbaru dari Sepanyol, Mikel Merino, turut diketepikan dalam tempoh masa yang lama susulan mengalami kecederaan bahu dalam sesi latihan pertamanya.

Status pertahanan, Riccardo Calafiori pula, tidak diketahui statusnya tatkala perlu meninggalkan kem Itali akibat kecederaan.


"Status pemain berusia 25 tahun itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih tetapi ia juga boleh mengambil masa yang lebih lama daripada tempoh yang ditetapkan," kata pegawai perubatan Norway, Ola Sand.

"Selepas menjalani ujian imbasan MRI, tiada sebarang patah atau retak berlaku di bahagian tulang pada buku lali.

Derita pasukan dari London itu akan berterusan apabila Odegaard juga harus melupakan aksi Liga Juara-juara Eropah (UCL) menentang Atalanta, minggu depan.