BADMINTON
Chong Wei nasihatkan pemain jangan salah guna media sosial
Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, menitipkan pesanan buat pemain negara agar fokus kepada karier, bukannya media sosial demi masa depan yang cerah.
Bagaimanapun, bekas jaguh Siri Super itu sedar dengan peredaran zaman yang berbeza berbanding ketika dia masih bergelar pemain negara tetapi ia satu bentuk cabaran baru yang menuntut keperluan atlet mengimbangi era teknologi.
"Saya nampak budak-budak sekarang mahu minum air pun angkat telefon, mahu swafoto dan tulis di media sosial terlebih dahulu.
Iklan
"Adalah lebih penting untuk pemain memberi tumpuan kepada badminton, karier, latihan dan kejayaan mereka -- automatik (kejayaan) akan datang kepada kamu.
"Saya tahu zaman saya tiada tapi sekarang saya boleh juga kurangkan penggunaan media sosial.
"Orang tulis bagus mungkin anda akan gembira, tapi kalau ulas tidak bagus mungkin boleh ganggu keamatan," katanya selepas terbabit dalam perlawanan pertunjukkan dengan barisan pemain legenda dalam Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Dia juga berharap perseorangan muda negara, Ng Tze Yong, yang bakal menggalas cabaran dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 akhir bulan ini mampu mengawal tekanan bakal dihadapinya.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu turut menjelaskan bahawa Tze Yong mempunyai potensi untuk berada di peringkat lebih tinggi, namun perlu meningkatkan beberapa aspek berdasarkan prestasinya dalam Terbuka Malaysia 2022 selepas pemain muda itu terkandas dalam pusingan awal kepada seteru China, Lu Guang Zu.
"Kita tengok (nampak) dia ada potensi tapi saya rasa dia sendiri dapat lihat tahap dia sampai mana dalam Terbuka Malaysia ini.
"Main satu perlawanan sahaja dan selepas sejam lebih permainan, kakinya sudah kekejangan.
"Saya tahu apa kekurangannya dan statusnya. (Ia menjurus kepada) kecergasannya. Kalau dia menang pusingan pertama, ada empat pusingan lagi untuk sampai ke final.
"Saya tahu ia bukan mudah tapi saya tahu dia akan berjuang untuk diri sendiri, apa yang dia mahu," katanya.
Tambahnya, selepas tidak lagi bergelar pemain pada 2019 lalu, Chong Wei mengakui masih berhubung dengan bekas jurulatih, Hendrawan, untuk bertanyakan khabar "adik-adiknya" di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selain menegaskan bahawa dia terbuka seandainya barisan pemain negara memerlukan pertolongannya.
"Selepas bersara, saya tiada kedudukan dalam BAM. Saya tidak mahu ganggu perancangan BAM terhadap kejurulatihan.
"Saya hanya bertanya khabar dan ada pemain yang ingin berjumpa dengan saya.
"Masa sukar, saya sentiasa bersedia membantu dan telefon tidak pernah tutup. Bukan BAM sahaja, ada negara lain lagi yang hantar mesej kepada saya untuk bertanya bagaimana saya melalui kesusahan, (misalnya) bagaimana saya bangkit selepas digantung 11 bulan kerana doping.
"Ini sesuatu yang saya boleh kongsikan kepada pemain, tiada masalah," katanya.
Must-Watch Video