Bojan Hodak gariskan elemen lucu kemenangan Kuala Lumpur City

Shaiful Shamsudin
June 5, 2023 19:59 MYT
Ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, tiada masalah dengan ketiadaan beberapa pemain tonggak akibat kecederaan apabila taktikal yang digunakan jelas membuahkan hasil ketika menundukkan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darulmakmur, malam tadi.
Hodak mengakui masih terdapat beberapa perkara yang harus diperbaiki sebelum skuad Warga Kota berkunjung ke Penang FC bagi perlawanan seterusnya Khamis ini.
"Kami benar-benar bermain baik dalam tempoh 25 minit awal dengan penguasaan bola dan mencipta beberapa peluang.
"Selepas itu kami kerap kehilangan bola dengan cepat dan tidak dapat mengawal situasi.
"Anda nak tahu satu perkara lucu tentang bola sepak Malaysia, sebaik sesebuah pasukan menjaringkan gol mereka cenderung untuk bertahan.
"Mungkin ini satu tradisi," katanya.
Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, pula menganggap ketiadaan Nur Azam Azih dan Sergio Aguero sebagai punca mereka rebah.
Ini merupakan kekalahan Liga Super kedua skuad Tok Gajah selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 24 Mei lalu di Stadium Sultan Ibrahim.
"Pasti (terasa kehilangan mereka) sebab boleh dilihat tadi kami kurang kreatif di bahagian tengah.
"Stefano Brundo terpaksa bermain di tengah sedangkan dia adalah pertahanan tengah. Kami cuma ada Kevin (Ingreso) sahaja di situ.
"Kalau adanya mereka (Azam dan Aguero) pastinya lebih banyak hantaran yang kreatif.
"Saya arahkan Zuhair Aizat Nazri dan Baqiuddin Shamsudin supaya banyak buat larian tapi sepakan lintang dan penyudah mereka kurang baik.
"Tapi saya gembira dengan permainan kami pada babak kedua," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
#bola sepak malaysia #Bojan Hodak #Kuala Lumpur City
;