Benzema beri bayangan mahu bersara di Lyon
Nafis Abdullah
April 18, 2020 12:09 MYT
April 18, 2020 12:09 MYT
Penyerang Real Madrid, Karim Benzema, memberi bayangan mahu bersara di Lyon tetapi tidak bercadang untuk pulang ke bekas kelabnya itu dalam masa terdekat.
Benzema berhijrah dari Lyon ke Madrid pada 2009 menerusi yuran berjumlah EUR35 juta (RM166 juta), meledakkan 241 gol dalam 501 penampilan bagi semua kejohanan buat Los Blancos.
Sejak beberapa bulan lalu, pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan bersetuju melanjutkan kontrak di Santiago Bernabeu sehingga 2022 tetapi masih belum ada pengesahan rasmi.
Benzema melakukan penampilan senior pertama ketika Lyon meraih kejuaraan Ligue 1 musim 2004-05 dan memainkan peranan utama tatkala mereka mencipta sejarah menjulang trofi itu kali ketujuh.
Dia tidak menolak mengenai masa depan di Lyon selaku pemain atau staf pasukan.
"Pulang ke Lyon? Ia sering diperkatakan kepada saya. Semua orang tahu bagaimana hubungan saya dan Lyon," katanya.
"Pulang ke Lyon serta-merta mungkin tidak berlaku kerana saya berada di kelab terbaik dunia dan banyak perkara perlu dilakukan. Namun, pulang dan bersara, mengapa tidak?
"Bagaimanapun, saya akan pulang ke Lyon tidak kira sebagai pemain bola sepak atau tidak."
Ditanya mengenai tiga pemain terbaik yang pernah dia beraksi bersama, Benzema berkata: "Tiga pemain terbaik? Ia sukar. Terlalu ramai.
"Di Perancis, saya menikmati tempoh bersama Juninho Pernambucano dan Sylvain Wiltord. Namun, di Madrid, terlalu ramai. Cristiano Ronaldo, Sergio Ramos...
"Sukar untuk memilih tetapi saya berpeluang untuk beraksi dengan pemain yang sangat hebat."