Bale nikmati kejayaan cipta rekod
Penulis Jemputan
March 23, 2018 08:22 MYT
March 23, 2018 08:22 MYT
Gareth Bale percaya bahawa kejayaan muncul selaku penjaring gol terbanyak sepanjang zaman buat skuad kebangsaan Wales telah membuktikan kariernya berada di tahap terbaik.
Tiga gol yang dijaringkan Bale ketika membenam China 6-0 dalam aksi Piala China telah memberikan permulaan gemilang buat pengendali pasukan, Ryan Giggs, namun dalam masa sama membolehkan pemain berusia 28 tahun itu mengatasi rekod milik Ian Rush dengan 28 gol.
"Ia hebat, lebih-lebih lagi pada hari ulangtahun kelahiran anak perempuan saya.
"Sesuatu yang menggembirakan apabila dapat mencipta rekod tetapi kejayaan pasukan sentiasa menjadi keutamaan," kata Bale.
Apabila ditanya mengenai perbandingan di antara kejayaan itu dan pingat LaLiga, Piala Raja Sepanyol serta tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini, Bale menyifatkannya satu pencapaian yang sangat besar.
"Semuanya adalah satu pencapaian yang hebat kerana melibatkan kejuaraan utama. Saya tidak pernah mengimpikan ketika kecil bahawa akan muncul sebagai penjaring terbanyak buat Wales dan ia adalah satu pencapaian terbaik dalam karier," cetusnya.
Mengulas kejayaan menundukkan tuan rumah 6-0, Bale menyatakan kelegaannya apabila melihat Sam Vokes menyumbat dua gol serta satu jaringan lagi disempurnakan oleh pemain muda, Harry Wilson.
"Saya rasa ia agak berbeza kerana semua pemain mahu membuktikan kebolehan kepada pengurus baru. Terdapat beberapa perkara yang dia mahukan kami cipta secara berlainan," tambahnya.
Wales akan berdepan pemenang di antara Republik Czech dan Uruguay untuk aksi final pada Isnin ini.