Badminton Terbuka Malaysia: Hannah Yeoh kecewa dengan prestasi pemain negara

Faizal Bazari
January 15, 2024 20:34 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, kecewa prestasi hambar pemain badminton negara di Terbuka Malaysia tempoh hari.
Hannah beri peringatan buat pemain badminton serta kesemua atlet berprestasi tinggi dalam program podium untuk kembali berada di tahap terbaik.
Desakan itu disuarakan Hannah susulan pengumuman elaun bulanan yang ditukar kepada gaji oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).
“Tentu, pasti kecewa kerana ini adalah tahun kedua di mana perlawanan akhir tiada atlet kita. Saya hanya mahu semua atlet kita yang berada di podium, bukan sahaja badminton kerana sekarang kita sudah menandatangani kontrak gaji dengan semua atlet.
“Mereka harus melihat latihan saja tidak cukup sebaliknya harapan rakyat Malaysia mendoakan mereka ingin melihat hasil. Jadi kita sudah tidak banyak masa lagi sebelum ke Sukan Olimpik Paris. Saya mahu semua bertungkus lumus untuk pastikan mereka layak.
“Keduanya, mereka perlu serius mengambil peluang ini. Peluang ini bukan semua orang dapat dan bukan semua orang boleh pergi ke Sukan Olimpik di Los Angeles nanti. Oleh sebab itu, mereka harus serius mengambil peluang ini dan serius dalam Latihan,” ujar Hannah Yeoh dalam Nadi Arena sebentar tadi.
#badminton #KBS #Terbuka Malaysia #Hannah Yeoh
;