Azizulhasni harap dapat bersaing dalam Sukan SEA
Astro Arena
May 24, 2017 23:14 MYT
May 24, 2017 23:14 MYT
"Saya harap mereka mempunyai semangat kesukanan," itu pandangan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, berikutan wujud khabar angin beberapa negara sengaja enggan menghantar peserta dalam acara keirin dan pecut dalam Sukan SEA, 19-31 Ogos nanti.
Sukan SEA memberi makna tersendiri buat Azizulhasni kerana ini kali pertama dia akan beraksi dalam temasya dwi-tahunan itu.
Dengan reputasi selaku juara dunia keirin, Sukan SEA sebenarnya bukanlah medan yang setaraf dengan Azizulhasni tetapi keinginan untuk beraksi di hadapan penyokong tempatan menjadi motivasi utama.
Peluang untuk menyumbang emas buat Malaysia, bagaimanapun, menjadi tanda tanya apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi bayangan ada beberapa negara secara sengaja tidak menghantar pelumba.
"Perkara sebegitu agak mengecewakan sebab dalam sukan ini, kita bertanding untuk menang. Saya pergi ke Hong Kong baru-baru ini, saya berlumba dengan juara dunia, juara Eropah dan sebagainya.
"Setiap negara ada pelumba kegemaran masing-masing. Macam saya ini, saya hanya bertanding dalam satu acara dan diharapkan tiada masalah nanti," katanya.
Azizulhasni ditemui ketika majlis memeterai kerjasama dengan pengeluar makanan tambahan, Sports Ration Powerfood, di Bukit Jalil, hari ini.
Dalam pada itu, Azizulhasni sudah tidak sabar untuk menantikan pelancaran Velodrom Nasional di Nilai, esok.
"Saya berbangga diberi penghormatan besar untuk bersama-sama dengan legenda kita, Datuk Ng Joo Ngan, Rosman Alwi, M. Kumaresan dan Josiah Ng, di mana mereka ini idola saya dalam kerjaya saya dari awal pembabitan sehingga sekarang. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini dan saya amat teruja," tambahnya.