Arab Saudi, Oman ujian akhir Harimau Malaya sebelum cabar Piala Asia Qatar
Shaiful Shamsudin
August 6, 2023 21:58 MYT
August 6, 2023 21:58 MYT
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata dua pasukan bakal menjadi ujian terakhir buat Harimau Malaya menjelang pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Menurutnya pemilihan untuk berdepan gergasi Asia, Arab Saudi, di Doha pada 3 Januari depan adalah langkah untuk meningkatkan mutu permainan skuad kebangsaan.
Selain dari saudi, Hamidin turut mengesahkan skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon akan bertolak pula ke Oman untuk aksi pemanas badan sebelum Piala Asia membuka tirai, 12 Januari.
"Kami akan bertemu Oman secara tertutup kerana ia di luar kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).
"Ini mungkin masa yang sesuai untuk Kim Pan-gon melihat taktikal atau penambahbaikan.
"Dalam bola sepak moden, pasukan boleh mengkaji perlawanan terdekat (membabitkan) lawan mereka menerusi video.
"Apa yang penting adalah persiapan kami," katanya kepada pemberita.
Oman menjadi pencabar Harimau Malaysia selepas diundi dalam Kumpulan F, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2024/Piala Asia 2027 di samping Kyrgyzstan serta pemenang play-off di antara Taiwan dan Timor-Leste.