Penyerang legenda Kedah, Hasmawi Hassan, mengakui terkilan melihat situasi semasa yang sedang melanda Kedah Darul Aman, yang terus bergelut dengan masalah kewangan.

Tanpa berselindung, Hasmawi mengakui sedih mengenangkan nasib menimpa barisan pemain dan pegawai Sang Kenari, yang sedang berjuang dalam keadaan serba kekurangan.

Bagaimanapun, dia masih menaruh harapan agar skuad Hijau Kuning itu dapat diselamatkan, sekali gus kekal berada di pentas tertinggi Liga Super musim depan.

"Kedah adalah salah satu pasukan elit yang sentiasa memberikan cabaran di kancah bola sepak tempatan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Jadi hari ini, berlaku perkara sebegini, saya berasa amat-amat sedih kerana kami biasa melakar sejarah dan pelbagai sejarah sudah dilakar oleh Kedah sendiri.

"Tetapi akhir-akhir ini kita nampak, Allahu Akbar, amat-amat menyedihkan.

"Dengan tanggungjawab sebagai seorang yang memiliki keluarga, dengan tanggungjawab sebagai seorang pemain bola sepak untuk merancakkan industri bola sepak Malaysia, tetapi dengan keadaan yang tidak mendapat gaji, apa yang boleh kita jangkakan daripada pemain ini?

"Apa yang kita jangkakan dengan kata kunci 'bermain untuk lencana di dada'?

"Kita nampak usaha daripada pihak pengurusan untuk melakukan sesuatu tetapi ia tidak cukup. Mereka memerlukan bantuan daripada semua pihak yang mampu untuk menyelamatkan bola sepak Kedah.

"Ia tidak masuk akal jika Kedah tiada lagi dalam arena bola sepak tempatan. Ia tidak boleh diterima," katanya.