Aiman terlepas peluang pecah rekod

Penulis Jemputan
October 29, 2017 19:53 MYT
Pelumba basikal trek negara, Muhammad Nur Aiman Rusli, terlepas peluang untuk memecahkan rekod 1 kilometer remaja Asia apabila catatan masanya ketika menjuarai kategori bawah 23 tahun Junior Cycling Malaysia (JCM) tidak diiktiraf.
Aiman berjaya mempamerkan aksi terbaik sebelum meraih catatan masa 1 minit 3.492 saat, namun ia tidak diiktiraf kerana penganjur menggunakan catatan tangan.
Dia cemerlang dalam acara 1km ujian masa apabila berjaya mengatasi pencabar lain yang lebih senior dalam kategori bawah 23 tahun untuk muncul juara, namun keputusan itu menyaksikan dia gagal memecahkan rekod milik bekas pelumba negara, Muhammad Firdaus Zonis, akibat daripada penganjur yang tidak menggunakan catatan masa elektronik.
Lebih malang, dia juga sepatutnya sudah mengatasi rekod remaja kebangsaan yang turut dimiliki Firdaus, selepas mengatasi catatan lama dengan kelebihan 0.470 saat.
“Saya berasa kecewa kerana sudah memecahkan rekod tetapi tidak disahkan kerana menggunakan catatan tangan,” ujar Aiman.
Bagi komisar Siri Trek JCM, Ibrahim Omar, pihak JCM terpaksa membuat keputusan tersebut selepas masa yang dicatatkan juga hanya menggunakan jam biasa.
“Kami tidak boleh mengiktiraf catatan itu kerana pertamanya, ia diambil dengan cara manual dan menggunakan jam biasa. Kedua, permulaan perlumbaannya tidak sempurna, jadi kami tidak boleh mengesahkan catatan masa itu,” kata Ibrahim.
Kes itu merupakan isu pertama dalam catatan masa pelumba yang tidak diiktiraf di Velodrom Nasional Malaysia yang memegang status venue terbaik berbasikal trek di Asia Tenggara.
#Cycling #Malaysia” #“Muhammad #“Berbasikal” #Omar” #“Ibrahim #“Junior #Aiman #Nur #Rusli”
;