ACL2: Selangor dilanda badai kecederaan pemain

Muzaffar Musa
October 22, 2024 13:11 MYT
Selangor dilanda badai kecederaan pemain menjelang aksi ketiga Kumpulan H, Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang kelab Korea Selatan, Jeonbuk, di Petaling Jaya malam esok.
Ketua jurulatih, Nidzam Jamil, dalam sidang media sebentar tadi mengesahkan tonggak tengah dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh, terpaksa direhatkan sembilan bulan gara-gara mengalami kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL).
Nidzam turut mengesahkan ketua pasukan, Safuwan Baharudin, turut tidak dapat disenaraikan bersama seorang lagi tonggak tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi, yang difahamkan gara-gara kecederaan paha.
Selain itu, pemain sayap lincah, Alvin Fortes, turut dilaporkan belum cergas dan perlu mendapatkan pelepasan pihak kesihatan untuk kembali beraksi.
Ditanya sama ada akan merombak pasukannya bagi aksi malam esok, Nidzam berkata: "Saya tidak mahu katakan ia rombakan, ada pemain yang tidak dapat diturunkan kerana kecederaan dan pemain yang akan diberikan peluang nanti perlu tampil memberikan prestasi terbaik buat pasukan.
"Kemudian kami akan dapat gambaran yang jelas untuk melihat bagaimana perlawanan itu akan dimainkan.
"Kami gembira memiliki ramai pemain muda yang tidak sabar untuk menikmati momen malam esok," katanya.
#bola sepak #Liga Juara-Juara Asia #Nidzam Jamil #Selangor FC #ACL2
;