YSCC Yokohama umum ketibaan Luqman Hakim

Muzaffar Musa
January 16, 2024 17:07 MYT
Penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin, sah akan beraksi dalam Liga Divisyen 3 Jepun (J3) bersama YSCC Yokohama musim depan, demikian diumumkan kelab itu dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Pemain berusia 21 tahun itu akan menyertai kelab berkenaan secara pinjaman daripada kelab Belgium, KV Kortrijk, sehingga 1 Januari 2025.
"Kami ingin memaklumkan bahawa Lukman Hakim bersetuju untuk menyertai kelab ini secara pinjaman daripada KV Kortrijk (Belgium). Juga dimaklumkan bahawa tempoh pinjamannya akan tamat pada 1 Januari 2025," kata kenyataan berkenaan.
Luqman Hakim dalam kenyataan yang sama berkata: "Saya amat gembira dapat menandatangani kontrak bersama YSCC.
"YSCC kelab yang hebat dan saya berasa amat selesa berada di sini.
"Saya tidak sabar untuk memulakan cabaran baru dan selepas ini, saya akan melakukan yang terbaik buat kelab ini," katanya.
#bola sepak #J-League #Luqman Hakim Shamsudin
;