Xavi menjangkakan perebutan kejuaraan LaLiga di antara Barcelona dengan Real Madrid akan menjadi sengit meskipun berada di persada liga dengan lima mata.

Barca yang kali terakhir menjulang kejuaraan dalam kempen 2018-19 telah memenangi 16 daripada 19 perlawanan untuk mengutip 50 mata.

Ini kali keenam Barca meraih angkah seperti itu di pertengahan musim dan dalam lima kesempatan, empat kali mereka bergelar juara.

Juara bertahan Sepanyol dan Eropah, Madrid, pula bergelut untuk mengekalkan ketekalan prestasi dalam musim Piala Dunia dipertandingkan ini apabila hanya memenangi separuh daripada lapan perlawanan liga terakhir.




Bagaimanapun, dengan kedua-dua pasukan turut bakal berentap dalam separuh akhir Copa del Rey, Xavi menegaskan bahawa cabaran anak buah Carlo Ancelotti itu tidak boleh diketepikan.

"Saya tidak berasa seperti pasukan pilihan, sebaliknya hanya calon yang berpeluang memenangi liga," katanya dalam sidang media pra-perlawanan menjelang pertemuan dengan Sevilla, awal pagi esok.

"Memenangi liga adalah salah satu matlamat kami. Kami bersaing dengan juara semasa LaLiga dan UCL jadi untuk kami merebut kejuaraan dengan pasukan yang hebat bukan mudah.

"Saya masih beranggapan bahawa Madrid sebuah pasukan yang mantap dan kami perlu berjuang hingga hari perlawanan terakhir liga."