SEVILLA 0 BARCELONA 3

Xavi berkata kejayaan Barcelona melakar kemenangan 3-0 ke atas Sevilla yang rapuh adalah satu petanda baik.


Raphinha membuka jaringan untuk Barca sebelum Robert Lewandowski menyumbat gol kelimanya dalam tiga perlawanan LaLiga untuk menggandakan kelebihan mereka dalam separuh masa pertama.

Eric Garcia meningkatkan kelebihan mereka dengan gol senior pertamanya di Ramen Sanchez-Pizjuan yang menyaksikan Jules Kounde menghasilkan dua bantuan jaringan ke atas bekas kelabnya itu dan Blaugrana sepatutnya menang dengan margin yang lebih besar.

Penyokong Sevilla kemudian mengejek kelab sendiri berikutan kekalahan itu yang menyebabkan mereka hanya memperoleh satu mata daripada empat perlawanan, manakala Barca berada di tempat kedua di belakang Real Madrid selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

Gergasi Catalan itu telah menjaringkan 11 gol dalam tiga perlawanan dan pasukan berwajah baru tersebut menunjukkan potensi untuk mempamerkan permainan yang menghiburkan sepanjang musim ini menerusi kualiti tinggi menggempur kubu lawan.

Pengurus Barca itu kemudian berkata: "Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol lagi. Ia satu petanda yang baik untuk bertandang ke Sevilla dan memaksa diri, pasukan sedang mengharungi tempoh yang sangat baik."


Ousmane Dembele mengucar-ngacirkan pertahanan Sevilla sebelum dia direhatkan dalam babak kedua dan Xavi gembira dengan impak yang dilakukan oleh pemain sayap itu.

"Saya tahu kemampuan Ousmane, dia seorang pemain yang sikapnya sangat saya suka, bukan sahaja di bahagian serangan malah di pertahanan." katanya.

Xavi turut memuji Gavi atas penampilan berpengaruh pemain tengah remaja itu.

Dia berkata: "Saya tidak terkejut, saya melihat dia berlatih setiap hari dan saya melihat apa yang dia mampu lakukan. Ia sesuatu yang hebat, mungkin dia adalah pemain terbaik perlawanan ini."