MALLORCA 0 BARCELONA 1

Barcelona mencatatkan kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan LaLiga selepas menewaskan Real Mallorca 1-0 hasil jaringan tunggal Robert Lewandowski di laman lawan awal pagi tadi.

Gol kesembilan Lewandowski dalam saingan liga musim ini memastikan kemenangan itu sambil penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, turut beraksi cemerlang.

Kemenangan itu meletakkan Barca di tangga teratas buat seketika menjelang perlawanan Real Madrid menentang Osasuna awal pagi esok.

Ketua jurulatih Barca, Xavi, berkata selepas perlawanan itu: "Kami perlu bertenang dan bersabar. Ia sentiasa sukar untuk menyerang 5-4-1, ruangnya amat sedikit. Ia menyukarkan kami.

"Kami beraksi baik dalam babak pertama tetapi dalam babak kedua, kami bermain dengan cara mereka dan kami tidak boleh membenarkan perkara itu.

"Ia pasti sukar selepas waktu rehat antarabangsa dan Mallorca amat menyedarinya. Jika anda tidak dapat menjadikan kedudukan 2-0, ia akan menjadi amat rumit. Kemenangan hari ini amat penting buat kami," katanya.

Mengulas mengenai Lewandowski, Xavi menambah: "Kesemua pemain yang saya pilih boleh melakukan perubahan tetapi dia seorang pemain terbaik, sekurang-kurangnya antara penyerang terbaik dunia seandainya bukan yang terbaik.

"Hari ini, dia sekali lagi menjadi pemisah. Dan ia berdasarkan bagaimana dia berusaha, bagaimana dia memberikan arahan dan bercakap dengan rakan sepasukannya."