Waktu Ibrahimovic di Old Trafford berakhir
Penulis Jemputan
March 23, 2018 08:28 MYT
March 23, 2018 08:28 MYT
Zlatan Ibrahimovic menyifatkan hari-hari indahnya bersama Manchester United sudah berakhir selepas disahkan meninggalkan juara 20 kali Liga Perdana Inggeris itu, semalam.
Ibrahimovic dijangka akan menyertai kelab Liga Bolasepak Utama (MLS), LA Galaxy, selepas United memutuskan untuk menamatkan kontraknya yang berbaki tiga bulan lagi.
Penyerang berusia 36 tahun itu menyertai United dari Paris Saint-Germain (PSG) pada 2016 melalui satu perpindahan percuma dan dia mencatat 28 gol dalam 46 perlawanan pada musim pertamanya bagi membantu skuad kendalian Jose Mourinho itu memenangi kejuaraan Piala Liga dan Liga Europa.
Bagaimanapun, kecederaan lutut yang dialami telah menyebabkan bekas tonggak skuad kebangsaan Sweden itu hanya mampu melakukan tujuh penampilan pada musim ini dan hanya dua kali bermula dari kesebelasan utama, memaksanya mula memikirkan untuk memilih haluan dan cabaran baru.
"Perkara-perkara indah telah tamat dan tiba masanya untuk berhijrah selepas melalui dua musim yang hebat bersama Manchester United.
"Terima kasih kepada kelab, penyokong-, seluruh pasukan, termasuk jurulatih-jurulatih, staff kelab dan semua pihak yang berkongsi kisah ini di dalam sejarah karier saya #foreverred," ujar Ibrahimovic melalui laman Twitter peribadinya.
Sebelum itu, laman web rasmi United terlebih dahulu telah mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan ringkas.
"Manchester United telah bersetuju untuk menamatkan kontrak Ibrahimovic dengan serta-merta atas persetujuan bersama.
"Semua wakil daripada pasukan mengucapkan terima kasih kepadanya di atas segala sumbangan buat pasukan sejak tiba di sini dan selamat maju jaya buat Ibrahimovic," kata kenyataan laman web rasmi Manchester United.