Viktor Gyokeres tidak pasti ke Manchester United
Aleqha Zainal
November 19, 2024 14:50 MYT
November 19, 2024 14:50 MYT
Penyerang Sweden, Viktor Gyokeres, menyatakan khabar angin yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Manchester United pada Januari depan adalah perkara yang "tidak pasti".
Pemain Sporting CP itu telah menjadi subjek spekulasi selepas pelantikan Ruben Amorim sebagai pengurus The Red Devils, walaupun dia juga dikaitkan dengan kelab-kelab besar seperti Bayern Munich dan Arsenal selepas prestasi cemerlangnya sejak berpindah ke Portugal.
Amorim, yang menandatangani kontrak di Old Trafford sehingga Jun 2027, telah membawa Gyokeres dari Coventry City pada Julai 2023. Begitupun, dia telah mencadangkan bahawa dia tidak akan membeli pemain dari Sporting dalam jendela perpindahan akan datang.
Malahan, ditanya mengenai kemungkinan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris, dia memberitahu Fotbollskanalen: "Ia menyeronokkan, tetapi bukan sesuatu yang saya beri perhatian kerana ia hanyalah perbualan.”
“Ini hanya khabar angin, tiada yang pasti. Sudah tentu, saya mahu menghabiskan musim ini di Sporting CP. Saya seronok berada di sini. Saya tidak rasa tertekan untuk membuat perubahan pada masa depan. Kita akan lihat bila masanya tiba."
#bola sepak
#Manchester United
#Sporting CP
#EPL
#Liga Perdana Inggeris
#Ruben Amorim
#Victor Gyokeres