Victor Osimhen menolak untuk meninggalkan Napoli sebelum akhir musim ini demi menjulang Scudetto bersama mereka sebelum mempertimbangkan perpindahan.

Manchester United disebut-sebut sebagai pesaing untuk mendapatkan tandatangan Osimhen berikutan penamatan kontrak Cristiano Ronaldo, sementara Tottenham sebelum ini turut dikaitkan dengan pemain antarabangsa Nigeria itu.

Osimhen mendahului senarai penjaring Serie A dengan sembilan gol musim ini dan prestasi cemerlangnya itu membantu Napoli menguasai puncak dengan kelebihan lapan mata sebelum rehat Piala Dunia.

Napoli tidak pernah memenangi Scudetto sejak kali terakhir Diego Maradona meniupkan inspirasi buat mereka untuk menikmati kegemilangan dalam kempen 1989-90, lantas Osimhen bertekad menamatkan kemarau itu.

"Masa depan saya ketika ini adalah untuk memenangi sesuatu yang penting di Itali. Sukar untuk memikirkan sesuatu yang lebih baik daripada Napoli," katanya kepada Il Mattino.

“Ini adalah salah satu pasukan terhebat di Eropah, ini adalah kelab yang luar biasa dan sekarang saya hanya perlu fokus kepada apa yang perlu kami lakukan musim ini.



"Oleh kerana kami belum mencapai sebarang kejayaan lagi, kami perlu memenangi sesuatu. Kemudian kami akan lihat apa yang berlaku."

Osimhen memuji perkembangannya di bawah pemantauan pengurus Napoli, Luciano Spalletti, yang membawa pasukan itu meraih tempat ketiga musim lalu.

"Saya sentiasa berubah, setiap hari. Adalah penting untuk terus berubah, untuk berkembang, untuk sentiasa mengambil langkah ke hadapan," katanya.

“Perkembangan karier saya dikaitkan dengan Spalletti, dia mempercayai saya, dia memberi saya rangsangan, membuatkan saya bekerja keras dan tidak pernah membiarkan saya berhenti.

"Dengan dia, segala-galanya lebih mudah kerana saya faham bahawa adalah menjadi tugasnya untuk membuatkan anda menjadi lebih baik lagi. Ia hanya permulaan buat saya, saya belum mencapai sebarang kejayaan lagi."