Pengendali skuad kebangsaan Itali, Giampiero Ventura, yakin pasukannya akan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 walaupun tewas 0-3 di tangan Sepanyol, minggu lalu.

Dalam aksi di Madrid itu, skuad Azzurri menamatkan rekod 56 perlawanan tanpa kalah dalam pusingan kelayakan selepas tumpas di tangan Sepanyol yang juga juara Piala Dunia 2010.

Kekalahan itu menyaksikan Itali berada di tangga kedua Kumpulan G dengan 16 mata, tiga mata di belakang Sepanyol yang mendahului dengan 19 mata, sekaligus menyaksikan skuad kendalian Ventura terpaksa mengharungi pusingan play-off untuk menempah tiket ke Russia, tahun depan.

“Ketika undian kumpulan dilakukan, kami sedar hanya juara kumpulan akan layak secara automatik.

“Sudah tentu apabila anda berhadapan dengan Sepanyol, anda harus menerima bahawa anda mungkin terpaksa mengharungi pusingan play-off. Hampir semua orang tahu situasi itu.

“Kami akan melalui aksi itu dan saya pasti kami akan tetap layak ke Piala Dunia. Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Itali, Carlo Tavecchio, bahawa tidak layak ke Piala Dunia adalah sesuatu yang teruk,” kata Ventura.

Pendapat Ventura turut disokong oleh ketua pasukan, Gianluigi Buffon, yang mengakui Sepanyol adalah pasukan yang hebat, terutama ketika aksi pada Sabtu lalu.

“Kami harus menerima kritikan. Secara jujur, saya tidak marah dengan situasi itu. Kami tewas 0-3 dalam perlawanan penting, saya adalah penjaga gol dan juga ketua pasukan, jadi ia lumrah apabila berdepan kritikan.

“Ada yang bertanya adakah saya terkesan dengan kritikan yang diperkatakan orang ramai terhadap saya, dan saya langsung tidak kisah tentangnya,” ujar Buffon.