ITALI 5 LIECHTENSTEIN 0

Giampiero Ventura memuji aksi separuh masa kedua Itali apabila skuad Azzurri mengetepikan Liechtenstein 5-0 dalam kelayakan Piala Dunia zon Eropah, awal pagi tadi.


Itali terpaksa menunggu 34 minit untuk memecah kebuntuan dalam perlawanan kelayakan Kumpulan G di Udine itu, menerusi voli menakjubkan Lorenzo Insigne yang menewaskan penjaga gol, Peter Jehle, sebelum penyerang Napoli itu membuat bantuan gol buat Andrea Belotti sejurus selepas rehat.

Ketiga-tiga pemain gantian Ventura kemudian menjaringkan gol -- Eder menyudahkan hantaran Belotti, Federico Bernardeschi merembat dari jarak jauh dan Manolo Gabbiadini memanfaatkan hantaran silang rendah dari bek kiri, Leonardo Spinazzola.

Kemenangan selesa Itali mengikat kedudukan dengan Sepanyol di bahagian atas kumpulan dan Ventura berasa permainan Itali meningkat selepas rehat, tetapi ketua jurulatih itu menyampaikan masej agar berhati-hati dalam kunjungan pasukannya ke Madrid pada September ini.

"Separuh masa pertama adalah satu pengajaran yang akan membantu kami untuk perlawanan seterusnya, iaitu menentang Sepanyol di Madrid," kata Ventura kepada Rai Sport. "Apabila anda mahu melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa tanpa berfikir, anda hilang arah.

"Pada separuh masa kedua, kami lakukan perkara yang kami mesti buat. Ini adalah apa yang saya maksudkan apabila saya bercakap tentang kesabaran, kami akan ingat perkara ini di Madrid."

Pemain Sassuolo, Lorenzo Pellegrini, membuat penampilan pertama untuk Itali dan dia gembira kerana dipilih bersama pemain tengah berpengalaman, Daniele De Rossi.

"De Rossi adalah idola saya sejak kanak-kanak dan saya masih menghormati dan kagum dengannya," kata pemain berusia 20 tahun itu kepada Rai Sport. "Membuat penampilan pertama dalam skuad senior Itali dan bersamanya adalah begitu indah."