VAR: Nazmi Nasaruddin calon pengadil ke Piala Dunia 2026
Shaiful Shamsudin
August 16, 2023 21:40 MYT
August 16, 2023 21:40 MYT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah proaktif apabila menjadikan pengadil, Nazmi Nasaruddin, sebagai calon utama ke Piala Dunia 2026.
Ia menerusi langkah awal badan induk itu menghantar pengadil terbabit mendapatkan lesen video bantuan pengadil (VAR) sebelum Ogos 2023.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, dengan Nazmi sudah menjalani latihan VAR di Riyadh, Arab Saudi, selama sembilan hari awal bulan ini.
"Kami bentuknya untuk pengadil Piala Dunia 2026. Dia perlu menjalani kursus VAR dan membolehkannya untuk mengadili perlawanan Piala Asia pada Januari depan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Pelesenan VAR menjadi satu kemestian dan membuka peluang kepada mana-mana pengadil Malaysia untuk layak bertugas dalam Piala Dunia, Sukan Olimpik dan saingan tertinggi kelab asia iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"FAM berharap sekurang-kurangnya ada pengadil tempatan mengadili perlawanan Piala Asia dan Piala Dunia.
"Kami sudah memulakan kursus VAR yang terdiri daripada 30 orang hingga hujung tahun ini," katanya.