Valencia mengesahkan bahawa pemain kebangsaan Uruguay, Edinson Cavani, kini menjadi milik mereka selepas bekas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United itu bersetuju mengikat kesepakatan selama dua tahun.

Cavani merupakan pemain ejen bebas selepas kontraknya di Old Trafford tamat pada awal tahun ini dan pemain berusia 35 tahun itu kemudian diintai pelbagai kelab Eropah.

Bagaimanapun, penyerang veteran itu memilih untuk ke LaLiga bagi menyertai pasukan bimbingan Gennaro Gattuso berkenaan secara perpindahan percuma dan mengikat kontrak sehingga Jun 2024.

Perpindahan terbaru itu menyaksikan Cavani akan beraksi dalam empat daripada limma liga utama Eropah, di mana dia meninggalkan kelab negara asalnya, Danubio, untuk menyertai Palermo dalam Serie A sebelum menghabiskan musim-musimnya bersama Napoli, PSG dan United.


Dengan memenangi enam gelaran Ligue 1 sepanjang tempohnya di Parc des Princes, dia meninggalkan kelab itu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 200 gol sebelum memilih untuk ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2020.

Bagaimanapun, faktor kecederaan menyaksikan dia hanya dapat menjaringkan 12 gol daripada 41 perlawanan liga buat United dan terlepas kejuaraan Liga Europa selepas tewas kepada Villarreal dalam aksi final tahun lalu.