Usah kecewakan Pan-gon lagi
April 10, 2024 12:59 MYT
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya lebih bertanggungjawab selepas dua kekalahan kepada Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat dan Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dikritik teruk atas dua kekalahan tersebut dan kecaman itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak adil buat pengendali dari Korea Selatan itu.
Menurut Pekan, Pan-gon tidak seharusnya menjadi kambing hitam kerana ada permintaan daripadanya dalam usaha menyiapkan pasukan yang lebih mantap gagal ditunaikan oleh FAM.
"Saya nampak komen-komen di laman sosial dan saya bersimpati dengan Pan-gon kerana beliau dihentam atas aksi hambar pasukan.
"Kalau pasukan kalah atau menang orang nampak jurulatih dahulu, bukan orang nampak pengurusan FAM.
"Jadi dalam hal ini saya fikir kita kena adil kepada Pan-gon. Kalau beliau minta sesuatu, FAM kena hormati dan tunaikan kerana ia untuk kebaikan pasukan," katanya.
Sebelum ini, FAM mengakui tidak dapat memenuhi permintaan Pan-gon ketika beliau mahu menyiapkan pasukan menghadapi Oman atas beberapa faktor antaranya kerana pemain tidak dapat dikumpulkan lebih awal.
Ia sekali gus mempengaruhi perancangan asal untuk menghantar skuad kebangsaan menjalani kem latihan pusat dan bermain dua perlawanan persahabatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).-Sinar
#FAM
#Malaysia
#Harimau Malaya
#Piala Dunia 2026
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#Kim Pan-gon
#Oman
#Piala Asia 2027
#Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027