Unifi Piala Malaysia: Sabah beri hadiah perpisahan terbaik buat Ong Kim Swee

Muzaffar Musa
November 23, 2024 19:37 MYT
PT ATHLETIC 0 SABAH 4
Sabah memberikan ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, hadiah perpisahan terbaik dengan menewaskan PT Athletic 4-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras sebentar tadi.
Kim Swee mengejutkan arena bola sepak negara apabila memaklumkan bahawa dia tidak menyambung kontraknya bersama The Rhinos, yang akan tamat hujung bulan ini.
Perlawanan menentang PT Athletic kali ini menjadi penampilan terakhir buat bekas pengendali skuad kebangsaan itu selepas berada di Kota Kinabalu sejak 2021.
Bersempena penampilan terakhir itu, Sabah menepati ramalan apabila memperoleh bekalan selesa bermula dengan jaringan Saddil Ramdani pada minit ke-13.
Menerusi satu gerakan serangan balas, Darren Lok menemui lorongan Irfan Fazail sebelum melakukan lintangan yang dirembat masuk Saddil.
Enam minit kemudian, Sabah menggandakan kelebihan mereka, kali ini menerusi penyudah Daniel Deraman, yang melakukan penyudah voli rendah yang tepat ke penjuru kanan bawah gawang PT Athletic.
PT Athletic menggegarkan gawang sabah pada awal babak kedua menerusi ledakan jarak jauh Indra Putra Mahayuddin tetapi ia dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati terdapat pemain pasukan itu yang berada di kedudukan ofsaid sewaktu gerakan awal sebelum jaringan itu dihasilkan.
Sabah kemudian memperoleh tambahan gol pada minit ke-76, kali ini dihasilkan pemain kebangsaan, Daniel Ting, yang menyudahkan bola muntah susulan percubaan akrobatik Joao Pedro.
Tidak cukup dengan tiga gol, The Rhinos memperlebarkan kelebihan mereka dalam waktu kecederaan selepas pertahanan PT Athletic, Yusri Yuhasmadi, terjaring gol ke gawang sendiri.
Kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu bagi aksi timbal balik di venue sama pada Rabu depan.
#bola sepak #Piala Malaysia #Sabah FC #PT Athletic FC
;