Unifi Piala Malaysia: KL Rovers ketepi isu gaji, fokus hadapi Harimau Selatan
Zaki Zainal
November 19, 2024 20:07 MYT
November 19, 2024 20:07 MYT
Keputusan Kl Rovers berlepas ke Johor Bahru hari ini menepis segala spekulasi bahawa bakal berlaku insiden boikot perlawanan rentetan isu gaji yang di hadapi pasukan dari Lembah Klang itu yang kini menduduki tangga ke-3 saingan Liga A1 ketika ini.
Namun pemergian skuad kendalian Wan Mustafa Wan Ismail adalah untuk berjuang di Stadium Sultan Ismail (SSI) dan memberikan aksi terbaik menjelang perlawanan pusingan 16 Liga Malaysia 2024/25.
Begitupun, lima bulan melalui tunggakkan gaji merupakan perkara perit yang perlu ditempuhi pemain KL Rovers ketika tanggungjawab terhadap pasukan kekal menjadi keutamaan mereka.
Pertahanan KL Rovers, Mohd Amer Saidin, menyifatkan bahawa sehingga satu fasa, berjuang demi slot seterusnya dalam saingan Piala Malaysia bukan lagi keperluan utama, tetapi aksi terbaik yang dipamerkan mungkin mampu menarik minat pasukan lain bagi kesinambungan kariernya musim hadapan.
"Itupun salah satu faktor juga sebab dekat sini pentas terbaik untuk tunjuk bakat masing-masing kerana bagi saya, kita dari Liga A1, mana tahu pasukan Liga Super mahukan khidmat kami itu merupakan satu pencapain yang bagus untuk kami," katanya.
Dalam pada itu, pemain tengah KL Rovers, Muhammad Faiz Mazlan, mengharapkan pihak yang sewajarnya bertanggungjawab untuk tampil kehadapan serta mempunyai rasa simpati dengan keadaan yang menimpa pemain pasukannya yang semakin terdesak dengan keadaan semasa.
"Orang yang perlu bertanggungjawab untuk sekarang kalau diikutkan memang sudah tiada dan kami masih berharap dengan Presiden.
"Terima kasih banyak-banyak sebab dia sahaja yang sanggup tolong kami sekarang dan berharap ada pembeli baru untuk membeli pasukan kami.
"Sebagai pemain kalau kita nak hadapi, kita boleh hadap cuma kita tidak akan tahu bila pembayaran gaji akan dibuat dan sampai bila.
"Saya harap orang yang bertanggungjawab sanggup datang dan bertemu dengan kami untuk beritahu apa yang sebenarnya berlaku." tambahnya.