UEL: Manchester United 'pecah telur', Amad pamer aksi memukau
Muzaffar Musa
November 8, 2024 09:55 MYT
November 8, 2024 09:55 MYT
MANCHESTER UNITED 2 PAOK 0
Amad Diallo menjaringkan dua gol untuk Manchester United akhirnya menemui kemenangan pertama dalam Liga Europa (UEL) musim ini dengan menewaskan PAOK 2-0 di old Trafford awal pagi tadi.
The Red Devils seri kesemua tiga perlawanan pertama UEL musim ini tetapi kecemerlangan Amad menjaringkan dua gol mengubah nasib mereka.
Pemain sayap itu tidak bernasib baik untuk mendapatkan sepakan penalti dalam babak pertama selepas dijatuhkan Abdul Baba sambil lintangannya pula gagal disudahkan Rasmus Hojlund dari jarak dekat.
Amad memecahkan kebuntuan jaringan United pada minit ke-50 dengan menanduk masuk bola melepasi Dominik Kotarski selepas menerima umpanan Bruno Fernandes.
Pemain berusia 22 tahun itu kemudian mengesahkan kemenangan United dengan melencongkan bola dari jarak 20 ela yang tepat ke sebelah kiri gawang lawan pada 13 minit terakhir.
Sebagai rekod, ia merupakan kali pertama Amad menjaringkan gol berganda buat United.
Dengan kemenangan itu, The Red devils melonjak ke tangga ke-15 dengan enam mata daripada empat perlawanan manakala PAOK pula kian terperosok di tangga ke-33 dengan hanya satu mata.