Massimiliano Allegri memberikan Juventus amaran bahawa mereka tidak boleh berasa simpati terhadap diri sendiri selepas Bianconeri dinafikan sepakan penalti pada penghujung pemainan dan gagal memanfaatkan dominasi mereka sehingga diikat Nantes.

Juve terikat 1-1 dengan Nantes dalam perlawanan playoff pertama pusingan kalah mati Liga Europa (UEL) di Stadium Allianz selepas Ludovic Blas menjaringkan gol dalam babak kedua untuk memadamkan jaringan pembukaan Dusan Vlahovic.

Pasukan bimbingan Allegri itu menguasai sebahagian besar perlawanan berkenaan tetapi kecewa apabila tidak diberikan sepakan penalti pada penghujung permainan meskipun bola kelihatan terkena tangan Andrei Girotto.

Pengadil merujuk insiden itu kepada video bantuan pengadil (VAR) tetapi kemudian membuat keputusan untuk memberikan sepakan percuma kerana Bremer didapati menolak pertahanan Nantes.

"Saya melihatnya. Tidak perlu bercakap banyak, ia jelas terkena tangan, sepakan penalti dan mungkin juga kad kuning," kata ketua jurulatih Juve itu.

Biarpun kem Juve berang dengan insiden pada penghujung perlawanan itu, Bianconeri juga sepatutnya menamatkan perlawanan itu lebih awal berdasarkan peratusan penguasaan bola yang dilakukan mereka.

Pasukan bimbingan Allegri itu memegang 64.2 peratus penguasaaan dalam babak kedua dan mendaftarkan 14 percubaan tetapi gagal memanfaatkan situasi itu.

Keputusan berkenaan menyaksikan penentuan ke pusingan 16 di antara kedua-dua pasukan itu akan ditentukan dalam aksi timbal balik di Stadium Beaujoire minggu depan.

"Kami sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik dengan kelajuan bola kami. Selepas 1-0, kami menghentikannya, kami bermain dengan amat perlahan.

"Ia kemudian menjadi 1-1 dan barulah kami kembali bermain semula.

"Kami memiliki peluang untuk menjadikan kedudukan 2-1 dalam beberapa ketika. Kami perlu meneruskannya, terutama dalam perlawanan seperti ini, di mana anda perlu menjaringkan banyak gol.

"Tiada guna untuk berasa kasihan terhadap diri kami sendiri, kami perlu memastikan kelayakan di Perancis nanti," katanya lagi.