ARSENAL 1 SPORTING CP 1
(Sporting ke suku akhir dengan menang penentuan penalti 5-3 selepas terikat 3-3 secara agregat)


Arsenal tersingkir daripada Liga Europa (UEL) selepas tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Sporting CP dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Granit Xhaka meletakkan Arsenal di depan dalam separuh masa pertama tetapi kelebihan itu dipadamkan dengan gol jarak jauh gemilang Pote untuk membawa penentuan berkenaan ke masa tambahan.

Penjaga gol Sporting, Adan, mempamerkan aksi terbaiknya, terutama ketika menafikan percubaan Leandro Trossard dan Gabriel Magalhes, walaupun pasukannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Manuel Ugarte dibuang padang pada penghujung masa tambahan.

Adan terus memainkan peranan pentingnya dalam penentuan sepakan penalti, di mana dia menyelamatkan bola sepakan Gabriel Martinelli sebelum Nuno Santos menyempurnakan sepakan terakhir untuk membawa Sporting ke suku akhir.