UCL: 'Welcome to Hell' Galatasaray tidak gentarkan The Red Devils
Syifa Nasir
November 29, 2023 13:04 MYT
November 29, 2023 13:04 MYT
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, menyeru anak buahnya untuk kekal bertenang dan mengawal emosi agar tidak terpengaruh dengan "Welcome to Hell" yang akan dihidangkan penyokong Galatasaray menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.
Sudah tiga dekad sejak kunjungan terakhir The Red Devils ke halaman pasukan gergasi Istanbul itu dan kini, mereka membawa semangat juang tinggi untuk memastikan tiga mata penuh dapat dibawa pulang.
Menurut Ten Hag, United telah bertemu Galatasaray dua kali dalam UCL dan sejak itu, mereka sudahpun memulakan persiapan untuk pertembungan besar di Rams Park kali ini.
Juara Turki itu berada di kedudukan yang baik untuk layak ke pusingan 16 setelah memenangi perlawanan di tempat lawan, 3-2.
Pengendali berusia 53 tahun itu juga sedar bahawa pasukannya tidak akan dapat ke peringkat kalah mati jika mereka tewas dalam pertemuan penting Kumpulan A itu.
“Kami tahu kami boleh menang di tempat lawan dan kami yakin,” kata Ten Hag.
“Perlawanan terakhir di tempat lawan dalam liga juga merupakan perlawanan berintensiti tinggi tetapi kami dapat mempamerkan aksi yang sangat baik. Kami sangat tenang dan komited untuk mencari mata kemenangan. Jadi kali ini, kami akan lakukan yang sama."