UCL Wanita: Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk bergelar juara

Muzaffar Musa
June 4, 2023 12:24 MYT
BARCELONA 3 WOLFSBURG 2
Jaringan Fridolina Rolfo melengkapkan kebangkitan luar biasa Barcelona dalam babak kedua untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) Wanita dengan menewaskan Wolfsburg 3-2 di Philips Stadion, Eindhoven malam tadi.
Kelab Sepanyol itu merupakan pasukan pilihan untuk memenangi gelaran kedua dalam tempoh dua tahun tetapi mereka dikejutkan dengan gol pembukaan Ewa Pajor buat Wolfsburg pada minit ketiga dan ketua pasukan, Alexandra Popp, melebarkan kelebihan itu sebelum ke bilik persalinan.
Bagaimanapun, Barca mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam babak berikutnya, di mana Patricia Guijarro menemui dua jaringan dalam tempoh lima minit pertama selepas perlawanan bersambung sebelum Rolfo memanfaatkan kesilapan pertahanan Wolfsburg untuk menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-70.
Kejayaan Barca itu turut memahat sejarah buat bola sepak England, di mana pemain kebangsaan mereka, Lucy Bronze, menjadi pemain wanita Inggeris pertama memenangi gelaran UCL dengan dua kelab berbeza selepas melakukannya sebanyak tiga kali bersama Lyon sebelum ini.
#Barcelona #Wolfsburg #bola sepak wanita #Liga Juara-Juara Eropah
;