UCL: Vinicius jaring hatrik bantu Real Madrid bangkit belasah Borussia Dortmund

Muzaffar Musa
October 23, 2024 11:13 MYT
REAL MADRID 5 BORUSSIA DORTMUND 2
Vinicius Junior mempamerkan aksi gemilang dengan menjaringkan hatrik dalam babak kedua ketika Real Madrid bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk membelasah Borussia Dortmund 5-2 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.
Donyell Malen membuka jaringan buat pelawat pada setengah jam pertama sebelum Jamie Gittens menggandakan kelebihan itu berselang empat minit.
Bagaimanapun, Kylian Mbappe kemudian membantu jaringan Antonio Rudiger untuk merapatkan jurang itu selepas sejam permainan sebelum Vinicius menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Lucas Vazquez kemudian meletakkan Madrid di depan buat kali pertama pada tujuh minit terakhir tetapi perlawanan itu kemudian menjadi pentas Vinicius mempersembahkan aksi terbaiknya.
Pemain sayap Brazil itu melakukan gerakan solo dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan lencong yang melepasi Gregor Kobel sebelum melengkatkan hartriknya dengan satu lagi jaringan gemilang dalam waktu kecederaan.
Dengan kemenangan itu, Madrid meningkat ke tangga kesembilan UCL dengan enam mata daripada tiga perlawanan manakala Dortmund pula di tangga kelima, juga dengan enam mata dan dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
#bola sepak #Real Madrid #Borussia Dortmund #Liga Juara-Juara Eropah #UCL
;