TOTTENHAM HOTSPUR 1 SPORTING 1

Antonio Conte mendakwa video bantuan pengadil (VAR) "membawa banyak kerosakan" selepas gol kemenangan Harry Kane pada minit ke-95 dibatalkan secara huru-hara untuk perlawanan menentang Sporting dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu berakhir dengan keputusan 1-1 awal pagi tadi.

Tottenham menyangkakan mereka telah mengesahkan kelayakan ke pusingan 16 UCL berbaki satu perlawanan peringkat Kumpulan D apabila Kane meledakkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan selepas Rodrigo Bentancur memadamkan jaringan pembukaan Marcus Edwards buat Sporting.

Bagaimanapun, Kane didapati berada di kedudukan ofsaid ketika menerima tandukan Emerson Royal selepas tiga minit semakan VAR, satu keputusan yang memicu kemarahan kem tuan rumah berkenaan.

Conte kemudian dilayangkan kad merah oleh pengadil, Danny Makkelie, kerana membantah keputusan itu dan dia terus meluahkan ketidakpuasan hatinya dalam satu temu bual selepas perlawanan.

"Tentang penghujungnya, saya fikir bola berada di depan Kane dan ia satu jaringan. Saya tidak faham dengan VAR dan garisan yang mereka letakkan," kata Conte kepada BT Sport.

"Amat sukar untuk memberikan komen mengenai keputusan VAR, saya fikir ia telah membawa banyak kerosakan.

"Saya mahu lihat jika di stadium lain atau bersama kelab besar lain, adakah mereka sudah bersedia untuk membatalkan gol seperti ini. Saya mahu tahu perkara itu.

"Saya dapat lihat banyak ketidakadilan. Saya tidak gemar situasi ini. Saya tidak dapat lihat perkara positif," katanya.

Dengan keputusan itu, Spurs perlu sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam perlawanan menentang Marseille di Stade Velodrome minggu depan bagi mengesahkan kemaraan.