Antonio Conte menggesa Tottenham agar mencari "kestabilan" tatkala barisan kendaliannya itu masih tercari-cari jawapan hujung minggu lalu menjelang perhitungan dengan Milan dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Spurs mengatasi juara kedua Manchester City dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum dikejutkan 1-4 oleh kelab bergelut, Leicester City, seminggu kemudian.

Cabaran Tottenham yang seterusnya bakal menyaksikan mereka berkunjung ke Milan yang kembali melangkah ke peringkat itu, lantas Conte menuntut kebangkitan anak buahnya di San Siro.

"Saya fikir kami akan terjawab esok; adalah lebih mudah untuk mencari jawapan yang tepat esok," katanya dalam sidang media pra-perlawanan apabila ditanya punca Spurs bergelut.

"Untuk cuba meramalkan masa depan adalah mustahil. Saya rasa kami kekurangan kestabilan, ia sentiasa menjadi elemen penting. Kami memerlukan kestabilan dan ketekalan kerana kami tidak boleh terus terumbang ambing.




"Saya sedang berusaha untuk menangani perkara ini dan fokus untuk tidak berdepan prestasi pasang surut. England tidak seperti Itali, EPL tidak seperti Serie A, kedua-dua liga ini memiliki budaya berbeza.

"Di England, adalah lebih sukar untuk fokus dan kekal fokus untuk setiap perlawanan. Di Itali pula, ia lebih mudah.

"Kestabilan ini kurang menjadi pada tahun ini. Saya sentiasa bercakap mengenainya dengan pemain saya. Sukar untuk mengekalkan tumpuan dan adalah mencabar untuk kekal fokus sepanjang masa.

"Kami sedang mengusahakannya. Bermain di bawah tekanan sepanjang masa adalah baik untuk sesetengah pemain dan buruk bagi yang lain. Kadang-kadang pemain berasa bermotivasi tetapi pada hari yang berbeza boleh menjadi terlalu tertekan hingga mereka tidak dapat beraksi.

"Mungkin untuk satu tempoh mereka boleh mempunyai prestasi yang baik, kemudian tahap persembahan mereka merudum secara tiba-tiba seandainya mereka mula berasakan terlalu tekanan tinggi."