Pep Guardiola menegaskan minggu-minggu akan datang sama sekali bukan penentu legasinya di Manchester City memandangkan ia sudah dianggap luar biasa.

City berada di ambang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelima mereka dalam tempoh enam tahun di bawah kendalian pengurus berbangsa Sepanyol itu dan berpeluang merangkul kejuraaan 'treble' tatkala mereka masih berjuang dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL).

Awal pagi esok merupakan satu lagi peluang mereka untuk melolosi peringkat akhir pertandingan Eropah itu apabila mereka bakal melayani kunjungan Real Madrid dalam pertemuan kedua separuh akhir selepas kedudukan 1-1, minggu lalu.

Trofi UCL sudah lama menjadi idaman utama kelab itu tetapi bagi Guardiola -- yang pernah membantu Barcelona memenangi sebanyak dua kali selain sembilan trofi utama bersama City -- tidak menganggap reputasinya bergantung kejuaraan tersebut.

Dia berkata: “Legasi saya di sini sudah pun mencapai tahap yang luar biasa!

“Kami pernah ke peringkat ini banyak kali. Kami bukan dungu, (kami) tahu betapa pentingnya hari esok -- mungkin yang paling penting sejak kami berada di sini.

“Saya berpesan kepada pemain supaya hayatinya, nikmati masa ini dan betapa bertuahnya kami. Peluang di dalam tangan kami sendiri, ia bergantung kepada kami sendiri.





“Kami tidak perlu melakukan sesuatu yang luar biasa, cukup jadilah diri sendiri, berikan segala-galanya.

"Saya mempunyai perasaan yang luar biasa tentang pasukan ini.

"Apa pun yang berlaku, terima kasih kerana membawa kami ke sini semula.

“Legasinya ialah kami pernah menempuhi satu tempoh yang sukar dan selama bertahun-tahun mereka (peminat) akan mengingati generasi pemain yang selama lima atau enam tahun ini yang telah menyumbat banyak gol dan sangat sikit dibolosi.

"Kami memenangi banyak perlawanan menerusi corak permainan yang sangat baik, dan orang ramai harus mengingatnya. Ia akan menjadi sebuah buku yang bagus.

"Sama ada mereka akan mengingati kami atau tidak, saya tidak pasti tetapi kami telah pun menikmati tempoh yang baik."