UCL: Milan ketepikan sentimen potensi jumpa Inter dalam separuh akhir

Shaiful Shamsudin
April 18, 2023 07:21 MYT
NAPOLI 1 MILAN 1
(Milan mara menerusi agregat 2-1)
Stefano Pioli berhasrat menikmati kejayaan Milan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) sebentar tadi, bukannya potensi berdepan musuh setempat, Inter.
Jaringan Olivier Giroud dalam separuh masa pertama menjadi bekalan Milan untuk layak menerusi agregat 2-1, secara tidak langsung menyingkirkan Napoli yang menyumbat gol lewat permainan menerusi Victor Osimhen di Stadium Diego Armando Maradona.
Inter pula akan turun dalam satu lagi pertembungan suku akhir dan Nerazzurri mendahului Benfica 2-0 menuju ke perlawanan timbal balik di San Siro, awal pagi esok.
Begitupun, Pioli berkeras ingin meraikan pencapaian Milan mara ke separuh akhir UCL sejak 2007 selepas keputusan seri 1-1 itu melengkapkan misi di Naples.
“Saya lebih gemar menikmati kemaraan ini, apa sahaja yang sudah tersurat pasti akan berlaku,” kata pengurus Milan itu dalam sidang media selepas perlawanan ketika ditanya mengenai potensi berdepan Inter.
"Sesiapa yang berjaya melepasinya, ia akan menjadi perlawanan separuh akhir UCL yang hebat."
#Milan #Olivier Giroud #UCL
;