UCL: Mbappe akui kurang membantu ketika PSG tersingkir di tangan Dortmund

Azreena Faizal
May 9, 2024 13:26 MYT
Kylian Mbappe bertanggungjawab atas kekalahan 0-1 Paris Saint-Germain (PSG) kepada Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi, yang menyebabkan mereka gagal ke separuh akhir dengan kekalahan agregat 0-2.
Mbappe, yang akan meninggalkan PSG pada penghujung musim ini, mengakui kurang memberikan sumbangan dalam usaha mereka meraih mahkota Eropah pertama.
Walaupun dia mendaftarkan tiga percubaan ke arah gol dan 12 sentuhan dalam kawasan penalti lawan semasa perlawanan kedua di Parc des Princes itu, dia secara keseluruhan hanya dapat melakukan 51 sentuhan, yang merupakan kedua terendah dalam pasukannya sepanjang perlawanan itu.
Mbappe mengakui bahawa dia sepatutnya memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pasukannya.
"Saya cuba membantu pasukan sebaik mungkin tetapi saya tidak melakukan yang secukupnya.
"Saya pemain yang sepatutnya menjaringkan gol dan menjadi penentu. Apabila keadaan baik, saya menerima semua perhatian dan apabila tidak, anda perlu mengambil tanggungjawab ini.
"Masalahnya bukan itu. Saya sepatutnya menjadi orang pertama yang menjaringkan gol malam ini. Itulah kehidupan, dan kami perlu meneruskan," katanya.
PSG mendominasi penguasaan bola (69.5 peratus) dalam perlawanan kedua dan mencatatkan empat kali lebih banyak percubaan berbanding lawan, namun empat daripada percubaan itu terkena tiang.
Mbappe menegaskan bahawa dalam perlawanan penting seperti UCL, kegagalan memanfaatkan peluang pasti akan membawa padah buat pasukam.
"Kami pasti kecewa tetapi ini bukan bermakna segalanya sudah berakhir. Kami perlu mengambil pengajaran daripadanya dan terus berusaha, kerana saya yakin kami akan berjaya."
#bola sepak #Borussia Dortmund #PSG #Liga Juara-Juara Eropah #UCL
;