Jurgen Klopp berharap kemaraan Liverpool ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akan menjadi satu lonjakan buat The Reds, yang bergelut sejak permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Klopp melepasi peringkat kumpulan UCL sepanjang bersama Liverpool untuk kini memegang rekod dengan melakukannya sebanyak enam kali berturut-turut sebaik menewaskan Ajax 3-0 di Arena Johan Cruyff awal pagi tadi.

Mohamed Salah, dalam pada itu, menjadi pemain ketiga terlibat dengan 50 gol atau lebih dalam kejohanan buat kelab-kelab Inggeris dengan jaringannya dalam babak pertama sebelum membantu penyudah Harvey Elliott dalam babak berikutnya.

Darwin Nunez turut menemui sasaran untuk Liverpool mudah mengesahkan kelayakan ke pusingan kalah mati, di mana Klopp dan The Reds boleh membawa momentum itu ke saingan EPL memandangkan mereka kini menduduki tangga kelapan dengan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Arsenal.

"Kami melalui setengah jam pertama yang sukar, di mana Ajax banyak melakukan tekanan dan kami perlu bertahan dengan kerap," kata pengurus Liverpool itu kepada BT Sport.

"Ia tidak mengapa kerana ini adalah perlawanan UCL di tempat lawan.

"Kami mengubah sedikit sistem kami, kami perlu melakukannya, mereka pasukan yang amat baik, kami mahu Darwin melakukan tugas yang sedikit ke tengah, jadi kami perlu melakukan penyelarasan.

"Kita tidak perlu bercakap mengenai prestasi kami setiap masa, kami sudah layak ke pusingan kalah mati dan kami tidak akan mengabaikannya.

"Ia amat penting, ia memberikan setiap orang satu lonjakan buat kelab ini. Ia amat membantu.

"Untuk malam ini, kami berasa amat baik, kepenatan tetapi amat baik, dan kini kami mempunyai beberapa hari untuk membuat persiapan menentang Leeds United," katanya.