UCL: Julian Alvarez bantu Manchester City jinakkan RB Leipzig
Sabrina Mustaffa
October 5, 2023 10:21 MYT
October 5, 2023 10:21 MYT
Manchester city meledak dua jaringan di saat akhir untuk meneruskan momentum kemenangan di aksi kumpulan Liga Juara-Juara Eropah dengan meraih 3-1 ke atas RB Leipzig.
Pemain gantian, Julian Alvarez muncul wira memastikan City meraih tiga mata penuh dengan jaringan cantik enam minit sebelum seorang lagi pemain gantian, Jeremy Doku melengkapkan kemenangan.
Phil Foden terlebih dahulu membuka jaringan di pertengahan babak pertama ketika City selaku tuan rumah mendominasi aksi namun berjaya diikat seri pasukan pelawat menerusi Lois Ppenda.
The Citizens kemudiannya bergelut dengan corak permainan lawan, setiap percubaan mudah dipatahkan Leipzig antaranya percubaan Foden yang cuba mencipta peluang pada minit ke-57 dengan hantaran lintang namun tiada penyudah sempurna oleh Erling Haaland.
Kemunculan Rodri, setelah kembali daripada menjalani hukuman penggantungan perlawanan (saingan EPL) ternyata memberikan impak positif di babak pertama ditambah pula bergandingan bersama Rico Lewis yang mencuri tumpuan ramai dengan kelincahannya untuk menguasai bola di jentera tengah.
Lewis terlepas peluang emas seawal minit ke-14 ketika Bernardo Silva membuat hantaran pendek di depan gawang namun gagal diterjemah kepada jaringan susulan dinafikan pertahanan Leipzig. Foden kemudiannya cuba menghidupkan kembali peluang namun disia-siakan rakan sepasukan.
Gol pembukaan City juga hadir 25 minit selepas satu lagi serangan bahaya yang dicipta Lewis, antara pemain muda yang rajin mencipta peluang dengan beberapa hantaran cantik kepada penyerang.
Menuju ke bilik persalinan, City tetap cuba melancarkan serangan menerusi rembatan haaland namun ditepis penjaga gol Leipzig, Janis Blaswich, yang mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan.
Percubaan Leipzig pula akhirnya menjelma di penghujung babak pertama ketika rembatan jarak jauh Openda ditepis city untuk memastikan mereka selesa dengan satu gol didepan menuju waktu rehat.
Sebaik masuk babak kedua, usaha City menidakkan peluang Leipzig lebur apabila Jack Grealish tersilap percaturan, membuka peluang Leipzig membuat serangan balas.
Hantaran cantik Yussuf Poulsen berjaya menemui openda untuk merobek gawang city selepas menundukkan pertahanan lawan, Ederson.
Haaland kemudian cuba memulihkan pendahuluan City ketika foden membuat hantaran lintang di kawasan bahaya namun terpaksa akur, terlepas peluang keemasan tersebut.
Kekecewaan haaland berterusan ketika City diberi kelebihan sepakan percuma di mana Foden sekali lagi mencipta peluang dengan hantaran baik namun tiada sebarang tindak balas berlaku susulan bola terkena palang.
Segalanya berubah sebaik sebaik pep guardiola membuat pertukaran pemain apabila Doku memberikan umpan buat Alvarez melakukan rembatan tepat ke arah penjuru kanan gawang sekaligus menumbangkan Blaswich.
Menuju ke wisel penamat, giliran Doku pula melengkapkan kemenangan ke atas Leipzig biarpun terpaksa membayar ganti rugi dengan layangan kad kuning akibat menolak pihak lawan.