NAPOLI 3 EINTRACHT FRANKFURT 0
(Napoli ke suku akhir dengan agregat 5-0)

Victor Osimhen menjaringkan dua gol untuk memastikan Napoli mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan penuh bergaya hasil kemenangan 3-0 ke atas Eintracht Frankfurt dalam perlawanan kedua pusingan 16 awal pagi tadi.

Osimhen menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa menerusi satu lagi aksi luar biasa yang dipamerkannya buat pendahulu Serie A berkenaan, yang meneruskan kemaraan dengan agregat 5-0.

Piotr Zielinski kemudian memenangi dan menyudahkan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-64, di mana Eintracht kelihatan buntu mencari penyudah tanpa penyerang yang digantung, Randal Kolo Muani, sepanjang pertemuan di Stadio Diego Armando Maradona itu.

Ia merupakan kali pertama Napoli layak ke suku akhir kejohanan kelab tertinggi peringkat Eropah berkenaan tetapi dengan menyingkirkan pasukan juara Liga Europa musim lalu itu, mereka kini akan menjadi pasukan pilihan sebaris dua lagi pasukan gergasi Itali, AC Milan dan Inter Milan, menjelang majlis undian menentukan lawan mereka esok.