UCL: Inter Milan bagaikan 'dirasuk' ketika bangkit ikat Benfica

Syifa Nasir
November 30, 2023 12:01 MYT
Watak utama Benfica dalam pertemuan awal pagi tadi, Joao Mario, tidak menungu lama apabila meledakkan dua jaringan dalam 15 minit pertama.
Seperti mempunyai tonik berbeza, pemain asal Portugal itu sekali lagi mengejutkan pihak lawan dengan menjaringkan gol ketiganya pada minit ke-31 yang memberikan kelebihan tiga gol kepada Benfica sebelum tamat babak separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Nerazzurri bermula dengan tekad untuk mencari jaringan tetapi percubaan terus Carlos Augusto digagalkan oleh penjaga gol, Anatoliy Trubin.
Beberapa minit kemudian, Renato Sanches, yang dihadiahkan sepakan percuma, juga tidak dapat memberikan penyudah yang baik.
Tidak mengalah, kem pelawat membuat asakan bersilih ganti dan akhirnya meledakkan gol pertama pada minit ke-51 menerusi Arnautovic hasil dari hantaran tandukan Yann Aurel Bisseck.
Mengekalkan momentum baik itu, hantaran lintang Francesco Acerbi kemudian disempurnakan oleh Frattesi untuk merapatkan jurang jaringan kepada 2-3 pada minit ke-58.
Insiden Marcus Thuram dijatuhkan oleh Nicolas Otamendi di dalam kawasan penalti memberikan sinar baru buat Inter Milan dan kesempatan itu dimanfaatkan Alexis Sanchez untuk menjaringkan gol penyamaan..
Tidak ingin terus terlena, kem tuan rumah kemudian membuat percubaan dengan lencongan Angel di Maria dari luar kawasan tetapi Emil Audero berhasil menepis dan sekadar memberikan tendangan sudut buat Benfica.
Bagai sudah jatuh di timpa tangga, akibat perlanggaran bersama Nicolo Barella, pemain pertahanan Benfica, Antonio Silva, mendapat kad merah pada minit ke-86 selepas pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR), sekali gus memaksa Benfica bermain dengan hanya 10 pemain menuju ke wisel penamat.
#bola sepak #Benfica #Liga Juara-Juara Eropah #Inter Milan
;