AC MILAN 1 NAPOLI 0

Ismael Bennacer menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk AC Milan membawa kelebihan tipis selepas menewaskan 10 pemain Napoli 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di San Siro awal pagi tadi.

Hanya berselang seminggu selepas mereka dibelasah Milan 4-0 dalam saingan Serie A, Napoli kali ini mempamerkan aksi dominan hampir keseluruhan perlawanan tetapi dikecewakan dengan jaringan Bennacer pada minit ke-40.

Gol pertama pemain kebangsaan Algeria itu dalam saingan UCL terbukti sudah mencukupi untuk menjadi pemisah dalam pertemuan kali ini sambil Napoli, yang kehilangan khidmat Frank Anguissa dalam babak kedua gara-gara dilayangkan kad kuning kedua, tidak pernah dapat memberikan respond terhadap jaringan itu, lebih-lebih lagi tanpa kelibat bintang utama, Victor Osimhen.

Pasukan bimbingan Luciano Spalletti itu akan berharap Osimhen dan Giovanni Simeone sempat cergas menjelang pusingan timbal balik untuk mereka menterbalikkan defisit jaringan itu di laman sendiri awal pagi Rabu depan.

Sebelum kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu di Stadium Diego Armando Maradona, Napoli terlebih dahulu akan melayani kunjungan Verona dalam saingan Serie A hujung minggu ini, tiga jam selepas pertemuan Milan dengan Bologna di gelanggang lawan.