UCL: Gol saat akhir Atletico letak kempen PSG dalam bahaya
Muzaffar Musa
November 7, 2024 11:34 MYT
November 7, 2024 11:34 MYT
PARIS SAINT-GERMAIN 1 ATLETICO MADRID 2
Kempen mengecewakan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berterusan apabila tewas 1-2 kepada Atletico Madrid awal pagi tadi, yang meletakkan mereka di zon penyingkiran.
Selepas tewas kepada Arsenal dan terikat dengan PSV, PSG berharap mereka dapat kembali ke landasan kemenangan di peringkat Eropah, terutama selepas Warren Zaire meletakkan mereka di depan pada minit ke-14 di Parc des Princes.
Bagaimanapun, pendahuluan itu hanya bertahan selama empat minit sebelum Nahuel Molina menyamakan kedudukan buat Atketico dan kekecewaan PSG memuncak apabila Angel Correa menjaringkan gol kemenangan dramatik pelawat dalam waktu kecederaan.
Kekalahan itu menyaksikan PSG terperosok di tangga ke-25 dalam liga 36 pasukan berkenaan dan berisiko tersingkir awal daripada kejohanan itu.
Kemenangan kali ini juga penting buat Atletico bimbingan Diego Simeone, yang kini hanya dibezakan dua anak tangga dengan zon penyingkiran.