PSG 1 NEWCASTLE UNITED 1

Kylian Mbappe menafikan kemenangan penting Newcastle United ke atas Paris Saint-Germain (PSG) menerusi gol sepakan penaltinya dalam waktu kecederaan perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes awal pagi tadi.

Bola didapati terkena tangan pertahanan Newcastle, Tino Livramento, pada minit kelapan waktu kecederaan, sekali gus membenarkan bintang Perancis itu untuk menyudahkan gol penyamaan PSG dengan menewaskan Nick Pope dan menyekat kemenangan Newcastle hanya beberapa saat sebelum perlawanan ditamatkan.

Seandainya dapat memenangi perlawanan itu, skuad bimbingan Eddie Howe berkenaan akan memintas PSG di tangga kedua menjelang aksi terakhir Kumpulan F bertemu AC Milan bulan depan.

Newcastle mendahului pada minit ke-24 dan kelihatan dapat bertahan daripada dibolosi sepanjang babak kedua berdasarkan aksi cemerlang Pope tetapi terpaksa akur pulang dengan hanya satu mata.

Peluang masih ada untuk mereka ke pusingan 16 tetapi ia kelihatan tipis, di mana mereka akan layak seandainya dapat menewaskan Milan dan PSG pula tewas kepada Borussia Dortmund dalam perlawanan terakhir.