Kenangan zaman kanak-kanak menjadi azimat buat Gabriel Jesus tentang betapa seriusnya dia mengidamkan pentas Liga Juara-Juara (UCL) apabila sanggup ponteng sekolah demi menonton perlawanan itu.

The Gunners kembali ke saingan kelab elit Eropah itu selepas enam tahun selepas menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Sebilangan anak buah Mikel Arteta masih belum pernah menikmati pengalaman UCL dengan pemain seperti Bukayo Saka, Declan Rice dan William Saliba akan membuat penampilan sulung mereka ketika menentang PSV Eindhoven awal pagi esok.

Sementara itu, Jesus mempunyai koleksi 14 gol dalam 22 penampilan UCL ketika bersama Manchester City dan dimasukkan sebagai pemain gantian ketika bekas kelabnya itu tewas kepada Chelsea dalam final 2021.

"Saya masih ingat masa menontonnya di rumah, saya terlepas sesi persekolahan demi menontonnya dan ibu saya naik hantu," kata penyerang Brazil itu tentang mengapa dia memandang tinggi pertandingan berkenaan.




“Ia bermula dari situ. Ia berbeza sebaik mendengar muziknya, untuk melihat pertembungan kelab terbaik. Semua liga, kelab terbaik terlibat. Saya fikir aspek ini banyak membantu kerana ini akan menjadi perlawanan yang berbeza, pertandingan yang berbeza.

“Jika saya bersuara. saya akan mendapat masalah! Tetapi sebagai seorang kanak-kanak, saya melakukan sesuatu di luar kawalan. Seperti yang saya katakan kepada anak-anak: jangan lakukannya, pergi ke sekolah.

"Ketika saya masih kecil sekitar usia 14, 15 tahun, saya pernah menyertai ujian di kelab-kelab tetapi pada akhirnya saya sering memilih sekolah."