Frank Lampard berikrar untuk tidak akan memberi jalan mudah kepada anak buahnya selepas Chelsea tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) apabila mengulangio kekalahan 0-2 kepada Real Madrid.

The Blues mengalami kekalahan keempat berturut-turut selepas dua jaringan Rodrygo menumbangkan mereka dengan agregat 4-0 di peringkat suku akhir, awal pagi tadi.

Kekalahan terbaru itu menyaksikan Lampard merekodkan pencapaian terburuk selama tiga dekad kelab berkenaan sekembalinya sebagai pengurus sementara.

Walaupun banyak peningkatan ditonjolkan dalam pertembungan di Santiago Bernabeu minggu lalu, bekas pemain tengah itu menuntut peningkatan standard mereka sambil berkata dia tidak akan melepaskan mana-mana pemain dengan begitu sahaja.

"Anda bermain untuk Chelsea," katanya kepada BT Sport.


"Setiap perlawanan ketika anda diturunkan, anda perlu mengerahkan segala kudrat.

"Saya tidak akan memberi jalan mudah kepada sesiapa sahaja dan kami perlu membuktikannya. Mutu kami tidak boleh kendur.

"Kami beraksi dengan sangat baik selama 60 minit. Kami mencipta peluang tetapi anda perlu memanfaatkannya. Saya tidak mahu terlalu memuji prestasi anak buah apabila mereka kalah di tahap ini.

"Tetapi kami dapat beraksi jauh lebih baik. Kelab ini pernah mara lebih jauh dalam pertandingan ini dan pada masa depan pemain boleh menjadikannya sebagai azimat."