UCL: Foden, Guardiola kagum aksi 'gila' Haaland

Muzaffar Musa
October 24, 2024 13:16 MYT
MANCHESTER CITY 5 SPARTA PRAGUE 0
Phil Foden dan Pep Guardiola kagum dengan pemain 'gila' Manchester City, Erling Haaland, yang melakukan jaringan voli menakjubkan ketika mereka membelasah Sparta Prague 5-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Etihad awal pagi tadi.
Haaland menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu tetapi jaringan pertamanya menjadi topik utama perbualan selepas perlawanan itu.
Penyerang itu menjaringkan golnya yang ke-20 dalam UCL dengan gaya yang cukup luar biasa, di mana dia melakukan percubaan akrobatik selepas menerima hantaran Savinho dari sebelah kanan.
"Jika saya mencuba untuk melakukannya, saya pasti akan mencederakan kelangkang saya," kata Foden kepada TNT Sports.
"Saya tidak tahu bagaimana dia melakukannya. Saya fikir mungkin dia menggunakan kakinya yang panjang.
"Dia gila bukan? Saya pernah melihat dia melakukan jaringan sama ketika menentang Borussia Dortmund."
Guardiola turut senada dengan Foden ketika membincangkan mengenai jaringan itu.
"Ia sukar dipercayai. Dia tinggi dan amat fleksibel.
"Ia amat sama seperti yang dilakukannya ke atas Dortmund beberapa tahun lalu.
"Sukar dipercayai. Saya tidak tahu yang mana lebih sukar. Kedua-duanya sukar dilakukan," katanya.
#bola sepak #Manchester City #Liga Juara-Juara Eropah #Erling Haaland
;